Adilkah
ini semua?
Seorang lelaki tua sedang berjalan menggagahi segala isi badn sisa kehidupannya. Terkusi
kakinya akan plastik sisa makanan yang melayang hasil hembusan angin kota.
Sakunya diselok. Pada ketika perut meronta-ronta ingin diisi, hanya habuk yang
dimuntahkan oleh saku seluar lusuhnya.
“ Hmm…” Hanya keluhan yang bisa terkeluar dari kotak
suaranya dan didengari oleh angin lalu yang tidak dapat membantu apa selain
memberi sedikit kedinginan kepada sekujur tubuh yang semakin dimamah usia.
Keringat mula membasahi dada. Si tua kepenatan
setelah langkah kaki jauh membawa diri. Terduduk Si tua apabila tempat pijakan
dan junjungan kepalanya terlindung dari terik mentari petang. Masalah kepanasan
global yang dirasai oleh isi dunia bukan lagi masalah utamanya. Sinar panas
sang mentari dibiarkan hilang di kaki lima itu. Ada kalanya pohonan rimbun.
Sedangkan ada insan yang tercari-cari
penghawa dingin untuk memberi keselesaan kepada tubuh yang tidak dapat menahan
kepanasan hasil kecuaian insani pada masa belakangnya.
“ Hoi, pengemis! Jauh kau dari sini! Pengotor! Bikin
pelanggan lari saja!” Herdik tauke cina. Tempikan berbisa yang sudah menjadi
permainan telinganya berkumandang lagi. Tempat teduhannya dikelaskan sebagai
kawasan larangan. Mata yang melihat mula memberi seribu satu tafsiran. Ada
bibir yang mengukir senyuman takala melihat Si tua pengemis terpinga-pinga
kerana terkejut akan herdikan insan yang tidak berperasaan. Ada juga yang
mencemuh si celupar berhati batu itu.
“ Bodoh punya orang. Tidak bolehkan lelaki itu
diusir secara baik? Cemuh seorang lelaki.
Namun cemuhan tinggal cemuhan. Si tua pergi membawa
diri. si tauke berniaga seperti biasa lagi. Penonton drama dunia sebentar tadi
pun terus menyambung kerjannya yang terberhenti seketika tadi.
“ Mak, pak cik tu macam ayah lah…” Bisik Lisa.
Ditarik-tarik tangan ibunya.
“ Ayah? Ish… Lisa mungkin salah tengok ni. Ayah
sudah lama hilangkan?” Terang Ani.
Si ibu mencuka apabila anaknya menyebut soal
ayahnya. Tetapa mengapa? Dilanjutkan kerjanya. Barang kemas di atas meja kaca
itu diusiknya semula.
“ Ah! Mana mungkin Borhan ada disini…” Bisik
hatinya. Penafian tanpa asas mula diragui. Anak matanya mula melilau
mencari-cari lelaki yang dimaksudkan oleh anaknya tadi.
“ Lisa lihat pak cik tadi kat mana?” Soalan diajukan
untuk memudahkan pencarian.
“ Disana ibu. Dikedai baju itu…” Jari telunjuk kecil
Lisa terarah ke sebuah gedung pakaian yang berada di seberang jalan.
Matanya dikecilkan untuk mencari lelaki yang bernama
Borhan itu. Usahanya terbejat. Terlalu ramai lelaki yang lalu lalang disitu.
Matanya terarah semula ke rantai dan gelang mas yang tersergam indah di atas
kaca itu. Perasaan yang gundah dibiarkan bersarang di hati.
Imbas kembali…
“ Abang… maafkan Ani.” Halus suara Ani menyentuh gegendang
telinga Borhan. Luahan keinginan untuk berpisah dengan suaminya terucap juga
setelah sekian lama memendam rasa.
“ Tapi…kenapa sayang” Borhan tidak percaya dengan
apa yang didengarinya. Kasih sayang terhadap isterinya itu terlalu hebat.
Walaupun cintanya kepada yang Maha Pencinta tidak terduga hebatnya.
Ani semakin runsing. Borhan seperti tidak mahu
melepaskannya. Apa yang hendak dia katakan kepada Razman sekiranya Borhan tidak
rela untuk berpisah. Sedangkan dia sudah berjanji kepada Razman untuk meminta
cerai kepada Borhan pada malam itu juga. Curang!
Sekarang….
Lelaki tua berbaju comot semakin jauh meninggalkan
kedai baju itu. Layar ingatannya terimbau-imbau kenangan perit yang tidak
pernah lekang dari kotak memorinya itu.
“ Hoi! Buta ke?” Jerit seorang anak muda.
Rupa-rupanya bahunya berlanggar dengan badan anak muda itu. Jauh relung
fikirannya melayang. Hingga berlanggaran.
“Budak-budak sekarang semakin kurang ajar!” suara
ketidak puas hatian seorang wanita tua. Rupa-rupanya apa yang berlaku itu
disaksikan oleh seorang peminta sedekah.
Lelaki tua itu kelihatan dungu sahaja. Dibiarkan
herdikan anak muda itu berlalu dibawa angin kota. Akal sihatnya terbejat.
“ Ibu… ayah mana? Lisa rindu ayah.” Luah Lisa.
Bertaburan segala isi yang sedang difikirkan oleh Ani.
Berbahang rasanya apabila soalan itu diajukan.
Kesejukan penghawa dingin tidak lagi dirasainya. Keringat mula membasahi badan.
“ Lisa… uncle Razmankan
bakal ayah Lisa.” Ani bersuara. Nama teman lelakinya disebut supaya anaknya
dapat melupakan Borhan. Razmanlah punca dia dan Borhan bercerai. Razman jugalah
bakal pengganti ayah Lisa.
Imbas kembali…
“Ani tak kira… Ani tetap nak bercerai!” Lantang
suara Ani. Terasa kebencian Allah mula meresap di dalam jasadnya. Haruman
syurga juga semakin menjauh meninggal
Ani.
“ Tapi… kenapa sayang?” Lembut suara Borhan.
Kemarahan tidak dizahirkan olehnya. Hanya kemarahan
Ani sahaja yang terlihat sekarang. Borhan masih berakal sihat. Kemarahan Ani
tidak dibalas dengan kemarahannya. Dia tahu sekiranya api dib alas dengan api
maka semakin galaklah api itu menyala. Lalu dihembuskannya api itu salju yang
bersifat dingin, dengan harapan supaya api itu terpadam perlahan-lahan.
Ani membisu seribu bahasa. Suasana tegang bertukar
sepi. Jauh di sudut rumah kedengaran
esak tangisan Lisa. Anak kecil itu takut. Apa yang berlaku diantara ibu
dan ayahnya itu tidak dapat ditafsirkan oleh akal mentahnya.
“Ani…Ani…Ani menyintai lelaki lain. Razman namanya.”
Segala yang terpendam terluah oleh Ani. Ani yang tadinya membisu kini bersuara
semula,
“ Maafkan Ani abang.” Lemah suara yang terkeluar.
Tertunduk kepala Ani. Rahsia yang terpendam selama enam bulan lalu
dibongkarkan.
Borhan terpaku. Kakinya mula lemah. Matanya bepinar. Terasa
pantas darah mengalir di setiap inci badan. Lalu terduduklah dia.
Sekarang….
Fikirannya jauh menerawang. Lelaki tua itu sedang
duduk di bawah pohon rimbun di pinggir jalan bertar hitam. Peristiwa pahit yang
terjadi sebulan lalu punca dia jadi
begini. Berjalan tanpa hala tuju. Hidup terumbang ambing.
“ Lisa tak nak uncle
Razman! Lisa nak ayah!” Lisa menjerit sekuat hati. Dia meronta-ronta lalu
menangis. Tangisannya itu diharap dapat
mengubat rindunya pada kasih sayang seorang ayah.
“ Lisa! Jangan degil ya…” Terluah kemarahan Ani. Dia
mula bosan dengan kerenah anaknya itu.
“ Lisa nak ayah! Lisa nak ayah!” Lisa semakin galak
meraung. Anak kecil itu kelihatan seperti kerasukan. Ditarik- tarik tangan
ibunya untuk menunjukkan tanda protesnya.
“ Lisa!” Ani meninggikan suaranya. “Duduk diam-diam
boleh tak? Ibu tengah drive ni kan?”
Ani semakin geram. Dicubit lengan anaknya itu.
Jauh lelaki tua itu termenung. Matanya jauh
menerawang ke hadapan melihat apa sahaja yang melintas. Tiba-tiba matanya
tertumpu kearah seorang anak kecil di seberang jalan sana. Anak kecil itu
sedang bermain belon.
“ Lisa?” Terpacul suaranya. Kerinduannya kepada Lisa
seperti tidak dapat dibendung. Lelaki tua itu bangun dari duduknya. Tanpa
melihat kanan da kiri, dia meluru terus kearah anak itu.
“ Lisa…Lisa…” Lelaki tua itu menjerit-jerit.
Diulang-ulang nama anaknya itu. Tangannya melambai-lambai dengan harapan anak
kecil itu memandangnya.
“ Lisa ni kenapa degil sangat hah?” Marah Ani. Di pukul tubuh gebu Lisa berulang
kali. Terbeliak matanya.
“ Huh…” keluh Ani. Ani memandang semula kehadapan.
Tiba-tiba dia terpandang seorang lelaki berlari tidak jauh dari hadapan
keretanya. Hon kereta dibunyikan panjang. Ani cemas.
“ Allah…” terpacul kalimah suci dari mulut lelaki
tua itu. Terlihat olehnya akan sebuah kereta yang sedang meluru laju kearahnya.
“ Argh!!!” Ani mejerit. Brek ditekan.Namun sudah
suratan takdir. Kereta yang dipandu Ani melanggar lelaki tua itu.
Orang ramai mula mengerumuni sekujur tubuh tua yang
terbaring disisi jalan raya itu. Suasana menjadi cemas. Ani keluar daripada
kereta. Perlahan langkahnya menuju kearah kerumunan orang ramai itu. Terbuntang
luas mata Ani. rupa-rupanya lelaki yang baru dilanggar itu adalah Borhan. Bekas
suaminya. Dilihat darah keluar dari mulut dan hidung borhan.
“ Borhan…” Keluhan kesal Ani.
“ Maafkan Ani sekali lagi abang.” Kemaafan dipohon
oleh Ani. Hanya itu sahaja yang mampu terucap oleh Ani ketika jenazah Borhan
selamat dikebumikan.
Kini walaupun selaut penyesalan yang diucap,
walaupun segunung kemaafan dipinta, namun yang pergi tetap pergi. Lisa, seorang
anak yang tidak mengerti, kini menjadi yatim di dunia akibat kekilafan insan
yang disayanginnya.
0 comments:
Post a Comment